08 November 2009

~Selamat Hari Lahir??

Sayidina Ali:
“Manusia semua tidur, bila mati baru mereka terjaga.”
Kata-kata itu menusuk ke lubuk hati. Merobek-robek sisa-sisa kegembiraan yang masih tersisa. Apakah kita masih tidur? Ah, tidur yang sangat panjang kalau begitu.

Teringat pula kata Imam Ghazali:
“Ada manusia yang sedang ketawa ria, sedangkan kain kafannya sedang dirobek-robekan.”Ya, esok (08 november) ulang tahun kelahiran Noor Hana Binti Ibrahim(aku). Sudah hampir separuh abad aku bernaung di bawah langit-Mu ya Allah. Belumpun aku terasa menjadi hamba-Mu yang sebenar. Masih berpura-pura. Alangkah alpa dan berdosanya aku. Apakah sisa umurku masih panjang? Atau hanya seketika lagi. Aku tidak pasti. Ketika ramai teman mengucapkan selamat panjangg umur, hakikatnya umurku semakin pendek. Bukankah tarikh mati setiap insan sudah ditetapkan? Dan hari ini, esok dan lusa aku menapak lagi… semakin hampir pada tarikh kematian yang dijanjikan. Duhai, tertipunya aku ketika menerima ucapan selamat hari jadi… selamat pulakah hari matiku?


Aku belum bersedia untuk bertemu-Mu ya Allah. Walaupun aku tahu, siapalah aku untuk menyatakan tidak dan tunggu. Ya, Allah… segala kekuatan hanya pada-Mu jua. Kau yang Maha tahu apa yang terbaik untukku. Aku merayu pada-Mu ya Allah, pada tarikh ini. Untuk mengemis keampunan-Mu dengan tangan yang berdosa, dengan hati yang tercela. Jika tidak mengenangkan yang Engkau Maha Pengampun, aku tidak akan datang ya Allah. Rasa malu dan hina untuk meminta. Apakah aku diterima?


Ya, Allah di hari ini, kupinta dileraikan kusut fikirku. Mohon dijinakkan nafsu liarku. Tenangkanlah gejolak hati ini. Wahai yang Maha Adil, kutiplah aku untuk menumpang sekalipun di pinggiran rahmatMu. Walau sering aku lupa, tetapi aku sentiasa mendamba. Entah mengapa gelombang rasa ini sering datang dan pergi. Gelombang mujahadah ini tidak pernah tenang. Jangankan mutmainnah, malah ammarah pula yang sering melanda. Kekadang aku sendiri bertanya, akukah aku ini? Terasa diri bersalin dua, tiga dan… Ya, Allah, jauhkan aku dari topeng munafik yang menipu-daya ini.

Aku bukan Hanzalah yang mencurigai dirinya munafik walau taqwanya melimpah. Bukan juga Umar Al Khattab, yang tega memukul diri walaupun sedikit berdosa. Pun bukan seumpama Rabiahtul Adawiyah yang sentiasa berkata:
“Sesungguhnya istighfarku memerlukan satu istighfar lagi.”
Aku juga tidak mampu menangis kerana dosa… Hatiku keras amat. Kucuba menangis dengan merasa kesal. Tapi gagal. Mengapa aku tidak mahu menangis kerana gagal menangis. Ya Allah, kerasnya hatiku ini. Mohon dilembutkan. Atau mohon aku diberi ‘hati’ yang lain. Hati yang ada ini bagaikan sudah mati ya Allah.

Aku kembara telah jauh. Namun kolam hatiku kian keruh. Beban tambah berat, diriku kian penat. Urusan kian payah. Jiwa semakin gundah. Justeru, mudah-mudahan di hari lahirku ini aku akan ‘dilahirkan’ semula. Lahir sebagai insan yang sentiasa mengingatiMu. Yang mampu hidup antara kekangan takut dan lingkungan harap. Takut, kalau-kalau dimurkai. Harap-harap, minta-minta diampuni.

Buat sahabat, teman dan kenalan… terimakasih atas ingatan kalian. Pada yang jauh, maafkan aku kerana gagal mendekat. Pada yang hampir, maaf kerana tidak pandai membelai. Akhirnya terimalah secebis kata ini, (mungkin inipun masih dari terowong jiwaku yang gelap gelita.)…


“Marilah kita hidup…
seperti orang yang menanti mati
kerana ingat mati itu…
akan mengecilkan segala derita
akan mencairkan segala alpa
kiranya inilah detik terakhir
marilah kita mulakan semula
walau yang masih tersisa hanya sedetik cuma…
itu lebih bermakna!” Ah, kata pujangga, kita akan temui semula sesuatu di tempat yang kita kehilangannya. Dan sesuatu pengakhiran kekadang membawa kita kepada suatu permulaan yang lebih baik. Ah, teringat ungkapan dalam bahasa Inggeris yang pernah menjadi hiasan meja sewaktu belajar dahulu:
“In life, what sometimes appears to be the end is really a new beginning… “
Mudah-mudahan. Ini permulaan yang baik. Amin ya, Allah!

~Uhibbu~

18 September 2009

Hari raya Idul Fitri atau Lebaran tahun 1430 H ^_^

Ketika ramadhan telah lepas

Tiada dzikir yang lebih pantas

Selain takbir bagi pemilik ‘Arsy.

Ketika takbir telah bergema

Tiada yang lebih bermakna

Selain pintu maaf yang dibuka.

Selamat lebaran, semoga diterima amalan,

yang ikhlas dilakukan, selama Ramadhan.

30 August 2009

TAZKIRAH KHAS RAMADHAN - dari shukur.com

SIRI 4 : BERBUKA PUASA

"Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selama ia menyegerakan dalam berbuka." -HR Bukhari Muslim

Tiada yang lebih dinantikan selama waktu berpuasa sepanjang siang melainkan waktu berbuka puasa. Apabila tiba Maghrib, maka muslimin yang berpuasa disunatkan agar menyegerakan berbuka lantaran ganjaran pahala yang lebih banyak daripada mereka yang menunda waktu berbuka.Rasulullah SAW juga menyeru umatnya agar tidak tergesa-gesa ketika berbuka puasa. Makanlah dengan sewajarnya namun janganlah pula sehingga habis waktu untuk menunaikan solat Maghrib. Ini sejajar dengan sabda Baginda yang bermaksud:

"Apabila makanan telah dihidangkan, maka dahulukanlah makan daripada solat Maghrib dan janganlah kamu tergesa-gesa ketika makan makanan malam kamu." -HR Bukhari Muslim

Mendahului berbuka dengan memperbanyakkan doa adalah suatu yang dituntut kerana Allah SWT telah berjanji akan mengabulkan doa mereka yang berpuasa. Sebaiknya hendaklah doa yang meminta supaya diampunkan segala dosa yang pernah dilakukan pada masa lalu. Doa ini bukan sahaja dituntut ketika hendak berbuka puasa wajib tetapi juga ketika berpuasa sunat.

Terdapat beberapa doa pilihan yang boleh dijadikan pedoman ketika berbuka, iaitu:·

- "Allahumma laka shumtu wa 'alaa rizqika afthartu." (Ya Allah, demi Engkau, aku puasa dan dengan rezeki-Mu aku berbuka)

- "Alhamdulillahiladzi a'aanani fashumtu wa razaqani fa afthartu." (Segala puji bagi Allah, tuhan yang menolongku, sehingga aku (sanggup) berpuasa dan memberiku rezeki, sehingga aku (dapat) berbuka)

- "Allahumma laka shumnaa wa 'alaa rizqika aftharnaa, fa taqabbal minnaa innaka antas samiiul 'aliim." (Ya Allah, demi Engkau kami berpuasa dan dengan rezeki-Mu kami berbuka, maka terimalah (puasa) dari kami. Sesungguhnya Engkau benar-benar Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui)

- "Allahumma inni as 'aluka bi rahmatikallati wasi'at kulla syai'in antaghfiralii." (Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu dengan rahmat-Mu yang luasnya meliputi segenap (makhluk) agar Engkau mengampuni diriku)

Walau bagaimanapun, menurut Imam Nawawi dalam Kitab Al-Azkar, doa-doa berbuka puasa tiada yang sahih. Rasulullah SAW bersabda bahawa setiap individu boleh berdoa apa sahaja sesuai dengan keinginan mereka. Namun sebagai manusia biasa, adakalanya doa yang dipanjatkan tidak dimakbulkan Allah SWT. Jika hal ini berlaku maka kita hendaklah mengkaji di mana kesilapan kita. Mungkin juga makanan atau minuman yang kita ambil datang daripada sumber yang tidak sah kerana salah satu syarat supaya doa kita dimakbulkan ialah sumber makanan kita haruslah daripada sumber yang halal.

Bukan sahaja dari segi makan minum harian, malah kita sepatutnya lebih teliti dalam melakukan dan memperkatakan apa jua perkara, termasuklah dalam urusan yang kita anggap sebagai kecil dan remeh-temeh. Masalah tidak akan timbul jika kita menyelesaikan perkara yang kecil terlebih dahulu sebelum ianya menjadi lebih besar.

Selamat berbuka dan wassalam.

28 August 2009

TAZKIRAH KHAS RAMADHAN - dari shukur.com

SIRI 3 : KELEBIHAN SAHUR & TAMAR

“Sahurlah kamu kerana dalam sahur itu ada berkat.” -HR Bukhari dan Muslim

Ibadat puasa adalah satu perkara yang dituntut dan diwajibkan ke atas semua umat Islam yang telah cukup umur dan berkemampuan. Dalam mengerjakan ibadat puasa, sahur adalah satu amalan sunat yang digalakkan kepada mereka yang berpuasa. Namun dalam era globalisasi yang sentiasa bergerak pantas ini, umat muslimin menjadikannya sebagai satu alasan untuk tidak bersahur. Mengantuk dan letih kerap dijadikan jawapan kepada keengganan bersahur walaupun ia telah dianjurkan oleh Rasulullah SAW kepada setiap yang berpuasa.


Umum begitu arif dengan kaum lain yang juga mengerjakan puasa, namun apakah yang membezakan amalan puasa kaum muslimin dengan mereka? Perbezaannya jelas terletak di dalam pengambilan makanan sahur yang mana mereka tidak bersahur. Ramai juga yang tidak menyedari bahawa pada waktu bersahur juga adalah waktu yang mustajab untuk berdoa dan Allah SWT tidak akan menghampakan doa mereka.

Bagi mereka yang bersahur Allah SWT akan memberi keuntungan yang berlipat kali ganda. Selain daripada memperolehi kekenyangan dan kekuatan untuk mengerjakan ibadat puasa pada sebelah siangnya, mereka juga akan memperolehi berkat yang diturunkan pada sepanjang hari mereka melaksanakan ibadat tersebut.

Ibnu Hajar dalam mengulas Sahih Bukhari telah menyenaraikan beberapa kelebihan puasa, yang antara lainnya ialah:
~ Menuruti sunnah;
~ Membezakan diri dengan Ahlul Kitab;
~ Menambah kekuatan untuk beribadat;
~ Meningkatkan keikhlasan dalam beribadat;
~ Menghilangkan perasaan marah yang diakibatkan oleh kelaparan dan
~ Mendapat peluang untuk mengingati Allah dengan berzikir dan berdoa.

Namun, kita tidak digalakkan untuk mengambil terlalu sedikit atau terlalu banyak makanan pada waktu sahur. Memadai dalam anggaran yang secukupnya bagi membantu untuk mengerjakan puasa pada keesokan harinya kerana pengambilan makanan yang terlalu banyak atau sikit pasti akan menimbulkan rasa kurang selesa. Sebaik-baik sahur yang dianjurkan ialah dengan memakan buah kurma atau tamar. Bersahur dengan memakan kurma adalah sebahagian daripada sunnah Nabi, justeru jika kita mengamalkannya, Allah SWT akan memberikan pahala sebagai ganjaran.

Abu Hurairah ra berkata, “Sabda Rasulullah SAW: Sebaik-baik makanan sahur bagi orang mukmin adalah kurma.” -HR Ibnu Hibban & Baihaqi

Seandainya keletihan menimbulkan kesukaran untuk bersahur, Rasulullah SAW menganjurkan agar tetap mengambil sebiji kurma ataupun memadai dengan seteguk air untuk mengisi perut.

Waktu sahur yang paling afdhal ialah pada waktu menjelang Subuh, iaitu kira-kira 10 atau 15 minit sebelum bilal melaungkan azan Subuh. Rasulullah SAW juga pernah bersabda bahawa waktu bersahur itu adalah bersamaan dengan bacaan 50 ayat suci Al-Quran.

Selamat bersahur dan wassalam.

22 August 2009

TAWARAN HEBAT ^_^